PROGRAM TRANFORMASI KERAJAAN

NETWORKEDBLOGS

BLOGGERS 1 MALAYSIA IKUT SAYA, SAYA IKUT ANDA JUGA

Thursday, August 15, 2013

APABILA MERCUN DAN PISTOL BERDENTUM...!!!


Masih dalam suasana raya, saban hari kita mendengar lagu malar segar Saloma Selamat Hari Raya dengan lirik yang sentiasa menggamit nostalgia: Dam-dam-dum mercun berdentum, semaraklah hari raya ini tahun...

Tetapi untuk kali ini jangan ambil mudah sekiranya terdengar letupan di sana sini, termasuk di sebelah rumah kita. Sebab dentuman itu tidak semestinya mercun; ada kemungkinan yang meletup itu pistol atau senapang.

Faktor usia menyebabkan saya selalu tersentak dengan apa sahaja letupan. Beberapa kali tersedak ketika makan sebab terganggu bunyi mercun. Sakit betul hati kepada kanak-kanak yang bermain mercun sepanjang raya. Sakit hati juga kepada ibu bapa yang biarkan budak-budak membakar mercun sesuka hati.

Tetapi lebih sakit hati – sebenarnya amat kecewa – kepada pihak berkuasa yang seperti ambil sikap ‘ada aku kisah!’ walaupun mercun berdentum dalam kawasan balai polis. Pada hal mercun adalah benda haram. Bagaimana benda haram boleh dimainkan di tempat polis?

Kita kerap membaca berita mengenai beberapa percubaan menyeludup mercun ditumpaskan oleh pihak berkuasa. Tetapi saya yakin jumlah penyeludup yang bolos lebih banyak. Buktinya mercun dijual berleluasa di tempat-tempat terbuka, termasuk di pasar malam, sama seperti menjual air tebu atau biskut tart.

Pendek kata pihak penguat kuasa tidak berupaya menyekat kemasukan benda haram itu, sekali gus gagal untuk menyekatnya daripada dimainkan sepanjang musim perayaan. Ada yang putus jari, ada yang lebam muka. Tetapi mercun berdentum juga. Agaknya semua pihak sudah mengambil sikap ‘ada aku kisah!’

Tetapi kita kena ambil kisah dengan dentuman pistol dan senapang. Akhir-akhir ini bunyi senjata api sama rancak dengan mercun. Ketika rencana ini ditulis, TV menyiarkan berita seorang wanita nyaris maut apabila ditembak penjenayah di Kuantan, Pahang.

Sebenarnya penjenayah semakin kerap menembak akhir-akhir ini. Berita orang maut kena tembak sudah menjadi menu harian media. Tidak kira surat khabar, radio, TV, media sosial, semuanya memuatkan berita orang kena tembak.

Jenayah melibatkan senjata api meningkat secara mendadak. Rekod polis menunjukkan dari April hingga Ogos tahun ini sahaja sekurang-kurangnya 24 orang mati ditembak penjenayah, 21 lagi cedera di seluruh negara.

Akhir Julai lalu letupan pistol, disyaki pembunuh upahan, telah meragut nyawa pengasas Arab-Malaysian Development Bank, Hussain Ahmad Najadi. Jenayah tersebut dilakukan di tempat terbuka, di sebuah tempat letak kenderaan di Kuala Lumpur.

Penembak telah dikenal pasti menerusi kamera litar pintas, dan disyaki masih berada di ibu negara. Tetapi sehingga kini dua minggu berlalu, penjenayah yang dikenali sebagai ‘empat mata’ itu masih gagal dikesan. Siapa tahu dia mungkin sedang merancang untuk menembak mangsa lain!

Sama seperti mercun, senjata api terutama pistol, boleh dibeli di tempat kita. Memang tidak semudah membeli apam balik, tetapi polis percaya ada sindiket yang menyeludup alat tersebut dari negara jiran untuk dijual di sini. Beberapa orang telah ditangkap untuk bantu siasatan berhubung penjualan senjata api.

Tidak dapat dipastikan berapa banyak senjata api kini berada di tangan penjenayah. Tetapi tembakan demi tembakan yang semakin menjadi-jadi akhir-akhir ini, membuatkan kehidupan semakin tidak selesa.

Pihak berkuasa meminta orang ramai jangan panik, tetapi dengan seorang demi seorang mati ditembak, ramai berasakan kita sudah tidak selamat. Kita sentiasa dalam ketakutan.

Tentu sekali pihak berkuasa, khasnya polis, berusaha keras dalam membanteras jenayah, termasuk menghalang pengedaran dan penjualan senjata api. Tetapi sekiranya hendak menghalang kemasukan dan pengedaran mercun pun kita tidak berupaya, apa harapan kita untuk bebas daripada pistol dan senapang haram?

Sesetengah orang kita marah apabila media di Singapura melaporkan peningkatan jenayah di tempat kita. Kita masih hendak pertahankan bahawa jenayah kita masih rendah, keadaan masih selamat, dan segala-galanya berjalan seperti biasa.

Cukup-cukuplah kita menyalahkan media asing. Sebaliknya kita perlu menghadapi kenyataan. Kalau kadar jenayah sememangnya meningkat, jangan kata jenayah kita menurun. Tidak guna menghebahkan kadar jenayah turun, pada hal orang melihat setiap detik jenayah berlaku di hadapan mata.

ABDUL JALIL ALI - SINAR HARIAN

4 comments:

Anonymous said...

OOH MALANGNYA NASIB NEGARAKU ,
TIADA TEMPAT NAK MENGADU ,
PEMIMPIN HANYA TAHU BERADU
DENTAM DENTUM BUAT TAK TAHU..

KALAU LAH ADA LAGI ISA ,
TAK BEGINI NASIB KU ...

Anonymous said...

OOH MALANGNYA NASIB NEGARAKU ,
TIADA TEMPAT NAK MENGADU ,
PEMIMPIN HANYA TAHU BERADU
DENTAM DENTUM BUAT TAK TAHU..

KALAU LAH ADA LAGI ISA ,
TAK BEGINI NASIB KU ...

Anonymous said...

OOH MALANGNYA NASIB NEGARAKU ,
TIADA TEMPAT NAK MENGADU ,
PEMIMPIN HANYA TAHU BERADU
DENTAM DENTUM BUAT TAK TAHU..

KALAU LAH ADA LAGI ISA ,
TAK BEGINI NASIB KU ...

Anonymous said...

OOH MALANGNYA NASIB NEGARAKU ,
TIADA TEMPAT NAK MENGADU ,
PEMIMPIN HANYA TAHU BERADU
DENTAM DENTUM BUAT TAK TAHU..

KALAU LAH ADA LAGI ISA ,
TAK BEGINI NASIB KU ...

There was an error in this gadget

TOP HOT ARTIKEL

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...