PROGRAM TRANFORMASI KERAJAAN

NETWORKEDBLOGS

BLOGGERS 1 MALAYSIA IKUT SAYA, SAYA IKUT ANDA JUGA

Friday, September 30, 2011

SULTAN SELANGOR AKAN BERTITAH MEMBERI NASIHAT SEHARI DUA LAGI



Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah akan mengeluarkan titah dalam masa dua atau tiga hari lagi bagi memberikan pandangan serta nasihat dalam menyelesaikan isu pemeriksaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ke atas sebuah premis yang dikatakan sebagai Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC), Petaling Jaya pada 3 Ogos lalu.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, kerajaan negeri akan akur dengan segala nasihat dan jalan penyelesaian yang dikemukakan oleh baginda.

Beliau menjelaskan, pihaknya tidak akan memberikan sebarang ulasan mengenai laporan yang dihantar oleh JAIS berhubung pemeriksaan tersebut sehingga ia diumumkan sendiri oleh Sultan Selangor nanti.

"Saya telah menghadap Tuanku Sultan Selangor pagi ini dan telah membincangkan laporan yang telah disediakan oleh JAIS berhubung pemeriksaan ke atas majlis yang diadakan di Dewan 3, Dream Centre, Petaling Jaya.

"Baginda selaku Ketua Agama Islam di Selangor telah berkenan untuk memberikan pandangan dan nasihat untuk menyelesaikan isu ini dengan cara terbaik," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini, hari ini.

Sebelum ini, laporan menyebut kerajaan negeri dijangka mendedahkan laporan lengkap oleh JAIS berhubung pemeriksaan ke atas premis berkenaan pada hari ini.

Kerajaan negeri sebelum ini menyebut JAIS meminta tempoh sebulan bagi melengkapkan siasatan berhubung pemeriksaan tersebut yang telah mencetuskan kontroversi apabila laporan awal mendapati terdapat unsur penyebaran agama lain ke atas sekumpulan penganut Islam.

Pemeriksaan pasukan penguat kuasa JAIS ke atas DUMC pada sekitar pukul 10 malam pada 3 Ogos lalu setelah menerima aduan tentang kehadiran orang Islam di premis berkenaan.

Abdul Khalid dalam kenyataan awalnya mengenai pemeriksaan itu mahu JAIS mengemukakan laporan penuh berhubung pemeriksaan tersebut dan melahirkan rasa kekesalan kerajaan negeri atas serbuan pihak berkuasa agama itu ke atas gereja berkenaan.

Beliau kemudian menubuhkan gerak kerja pendengaran bagi menyelesaikan isu tersebut yang menjadi kontroversi apabila terdapat 12 orang Islam terlibat menghadiri majlis 'thanksgiving' dan majlis berbuka puasa.

Exco Hal Ehwal Islam negeri, Datuk Dr. Hassan Mohd. Ali mempertahankan tindakan JAIS dan siasatan awal mendapati pihak yang terlibat boleh didakwa di bawah Seksyen 10 Enakmen Jenayah Selangor 1995, selain terdapat bukti-bukti berlaku kegiatan penyebaran agama bukan Islam kepada penganut Islam di premis yang dikatakan gereja itu.

Pengarah JAIS, Marzuki Hussin pula pada 15 September lalu mengesahkan sebutan kes tersebut akan dilakukan di Mahkamah Syariah Shah Alam pada 19 Oktober ini namun tiada sebarang perincian dibuat sama ada akan terdapat pendakwaan terhadap pihak yang terlibat dalam pemeriksaan tersebut atau sebaliknya.

Abdul Khalid berkata, kerajaan negeri yakin keputusan yang akan dibuat oleh Sultan Selangor mengenai kes tersebut adalah yang terbaik untuk masyarakat pelbagai kaum dan agama di Selangor di samping memelihara kesucian agama Islam.

"Saya dan juga barisan Exco Kerajaan Negeri tidak akan membuat sebarang ulasan mengenai isu ini bagi menghormati keputusan Sultan Selangor. Saya telah menghadap baginda serta berbincang dan Tuanku bersetuju memberikan titah awal supaya tidak perlu ramai orang berbincang perkara itu," katanya.

Beliau berkata, sebarang ulasan lanjut termasuk pendirian kerajaan negeri berhubung perkara itu akan dinyatakan selepas Sultan Selangor mengeluarkan titah.

Namun beliau menolak sebarang tanggapan bahawa kerajaan negeri tidak mahu langsung masuk campur dalam menyelesaikan perkara itu.

"Saya sudah masuk campur (tetapi) adabnya oleh kerana Tuanku adalah ketua agama, kita setuju, baginda akan memberikan titah untuk semua pihak, itu caranya. Selepas titah baginda, saya akan jumpa media, untuk mereka tanya apa ulasan saya," katanya.

Ditanya sama ada titah Sultan Selangor itu nanti akan mempengaruhi keputusan sama ada akan terdapat sebarang pendakwaan terhadap pihak yang terlibat dalam majlis di premis berkenaan, Abdul Khalid berkata, persoalan itu berbentuk satu spekulasi.

"Itu bersifat spekulasi, perbincangan antara saya dan Tuanku bukan untuk pengetahuan umum," katanya.

1 comment:

manBonda said...

Apalah bodoh sangat Khalid Gagap ni..ikut aje telunjuk Cina DAPig tu..bodohhhhh

TOP HOT ARTIKEL

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...