PROGRAM TRANFORMASI KERAJAAN

NETWORKEDBLOGS

BLOGGERS 1 MALAYSIA IKUT SAYA, SAYA IKUT ANDA JUGA

Tuesday, November 30, 2010

Wan Azizah Si Kitol Moden


Pelbagai pihak mempersoal sikap Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang mahu konsep ketuanan Melayu dihapuskan, semata-mata untuk meraih sokongan bukan Melayu.
 Mereka juga mempertikaikan sikap Dr Wan Azizah yang mengagung-agungkan suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga penasihat PKR yang dianggapnya sebagai anugerah tuhan untuk memimpin rakyat negara ini.Mereka berpendapat kenyataan Presiden PKR mengenai ketuanan Melayu memberi implikasi besar terhadap negara, institusi Raja-Raja Melayu, di samping menjadikan bangsa Melayu mundur.
Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia, Zainul Rijal Abu Bakar, berkata konsep itu seharusnya diperbaiki bukan disanggah kerana pelaksanaan berkaitan kedudukan istimewa Melayu perlu lebih telus.
“Secara perundangan, menghapuskan kedudukan istimewa Melayu bukan semudah menukar pakaian, sebaliknya Perlembagaan Persekutuan yang sarat dengan keistimewaan Melayu dan Islam perlu dipadamkan terlebih dulu.
“Persoalannya, dalam keadaan wujudnya keistimewaan Melayu dan Islam pun kedudukan itu sering dicabar, apakah akan berlaku jika kedudukan berkenaan dihapuskan.
“Jika persaingan adil mahu diwujudkan, ia perlu berlaku dalam kedudukan sama pada semua pihak. Dalam sektor swasta dan perniagaan yang dimonopoli bukan Melayu misalnya, persaingan adil tidak berlaku kepada Melayu tetapi perkara ini tidak diperbesarkan,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.
Kelmarin, ketika menyampaikan ucapan dasar pada Kongres Nasional PKR di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Dr Wan Azizah berkata, konsep Ketuanan Melayu perlu dihapuskan supaya anak membesar dengan visi ‘bangsa bermaruah’ atau ‘Melayu Bermaruah’.
Beliau juga mendakwa Ketuanan Melayu adalah slogan digunakan sekumpulan kecil elit Melayu yang berkuasa untuk memperdaya Melayu bagi kepentingan sendiri.
Zainul Rijal juga menolak pandangan tidak tepat, iaitu Ketuanan Melayu bermaksud kekuasaan Melayu dalam konteks sehingga memperhambakan bangsa lain.
“Frasa Ketuanan Melayu tidak wujud dalam Perlembagaan Persekutuan, tetapi konsep itu kerana kesanggupan Melayu menerima bangsa Cina dan India sebagai warga negara ini.
“Sebagai timbal balik kesanggupan dan kesediaan toleransi serta pengorbanan Melayu, Perlembagaan digubal dan memberi kedudukan istimewa kepada Melayu mengikut Perkara 153 dengan persetujuan saling beri memberi ini disebut sebagai Kontrak Sosial,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menjelaskan, istilah Ketuanan Melayu perlu dilihat dalam konteks perjuangan Melayu sebelum merdeka yang menganggap Tanah Melayu sebagai tanah pusaka diakui British, selain dirujuk sebagai kedaulatan.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Saifuddin Abdullah, kesal kerana Dr Wan Azizah memomokkan bangsanya sendiri.
“Sepuluh kali pun PKR mahu mendapatkan sokongan kaum lain, tidak perlulah memomokkan bangsa sendiri.
“Jika PKR tidak mahu ketuanan Melayu, itu haknya. Jika mahu kritik pun, itu haknya. Tapi jangan samakan ketuanan Melayu dengan bangsa yang hancur kerana kezaliman seperti kisah dalam al-Quran. Perjuangan Melayu berbeza, kita tidak zalim, sebaliknya inklusif,” tambahnya.
Timbalan Pengerusi Majlis Veteran Umno, Datuk Mohd Zaid Sirat pula mempersoalkan kedudukan Presiden PKR itu yang tidak mahu menerima kebangkitan dan kejayaan bangsanya sendiri.
“Segala-galanya kerana mahu kembalikan pengaruh yang makin terhakis, mendapatkan simpati Melayu dan sokongan bangsa bukan Melayu,” katanya.
Timbalan Pengerusi II Majlis Permuafakatan Ummah (PEWARIS), Rahimuddin Md Harun, menganggap ia ucapan pemimpin yang terdesak dan kecewa terutama apabila sejak kebelakangan ini, Melayu mula sedar.
“Malah ramai (orang Melayu) menjauhkan diri dari PKR, dan pada masa sama Azizah cuba memperoleh dan meyakinkan lagi bangsa Cina dan India mengenai keterbukaan PKR,” katanya.
Pemerhati politik Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Ahmad Atory Hussein pula berkata, kenyataan Dr Wan Azizah bertujuan mengembalikan kepercayaan dan sokongan ahli PKR yang dilihat semakin luntur dengan krisis keyakinan kepimpinan parti.
“Ini jelas satu bentuk ketaksuban. Dalam agama pun tak boleh memuja keterlaluan walaupun seorang pemimpin,” katanya.
Beliau mengulas tindakan Wan Azizah menyifatkan Anwar, “insan hebat yang memang dianugerahkan Tuhan kepada kita semua untuk menjadi pemimpin rakyat”.
Pengerusi Sekretariat Melayu Muda, Wan Azrain Wan Adnan pula berkata ia terpulang kepada ahli PKR untuk menilai dan mentafsir sama ada kenyataan Wan Azizah yang juga isteri Anwar itu berasas atau sebaliknya.


No comments:

TOP HOT ARTIKEL

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...