PROGRAM TRANFORMASI KERAJAAN

NETWORKEDBLOGS

BLOGGERS 1 MALAYSIA IKUT SAYA, SAYA IKUT ANDA JUGA

Tuesday, December 6, 2011

GANGGUAN BEKALAN AIR BERSIH BAKAL BERLAKU DI SEKITAR SELANGOR DAN KUALA LUMPUR...!!!


Sungai Selangor keruh luar biasa

Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) mengumumkan Pelan Tindakan Kecemasan (ERP) Kod Merah diaktifkan di lapan wilayah Syabas pada jam 4 petang, semalam berikutan pengurangan pengeluaran air di empat loji rawatan air di daerah ini.

Pengarah Eksekutif, Bahagian Hal Ehwal Korporat, Abdul Halem Mat Som berkata, lapan wilayah yang terlibat adalah Kuala Lumpur, Petaling, Gombak, Klang, Hulu Selangor, Kuala Selangor, Kuala Langat dan Sabak Bernam manakala wilayah Sepang dan Hulu Langat tidak terjejas.

Menurutnya, keadaan Sungai Selangor yang mengalami kandungan kekeruhan luar biasa yang belum diketahui punca sebenar itu mula dikesan di muka sauk keempat loji iaitu Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1), Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 2 (SSP2), Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 3 (SSP3) dan Loji Rawatan Air Rantau Panjang mulai jam 10.30 pagi, semalam.

“Untuk makluman, keempat loji rawatan air ini membekalkan air bersih sejumlah 2,460 juta liter sehari (JLH) kepada 60 peratus penduduk di Selangor dan Kuala Lumpur dan Syabas dimaklumkan oleh operator loji rawatan air bahawa jumlah pengeluaran air terawat di keempat loji dikurangkan ke 1,000 JLH.

“Tindakan pengurangan jumlah air terawat itu dilaksanakan berikutan kekeruhan luar biasa yang mencatatkan lebih 6,000 NTU (Nephelometric Turbidity Unit) berbanding 300 NTU pada waktu biasa selepas dikesan di muka sauk loji rawatan air,” katanya.

Pencemaran air membimbangkan

Abdul Halem berkata, kejadian pencemaran air mentah seumpama ini amat membimbangkan pihak Syabas sekiranya tempoh masa pengurangan pengeluaran loji rawatan air ini berterusan melepasi jam 8 malam semalam. Ia akan mengakibatkan gangguan bekalan air bersih kepada kira-kira 3 juta pengguna di sekitar Selangor dan juga Kuala Lumpur.

“Sebelum ini, kejadian sama pernah berlaku pada 2006 lalu berikutan kejadian banjir di kawasan Shah Alam. Setakat ini kami masih belum mengetahui punca sebenar berlakunya kekeruhan air dan pemantauan akan dibuat dari masa ke semasa untuk mengemaskini info terkini,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Lembaga Urus Air Selangor (Luas), Md Khairi Selamat berkata, pihaknya juga sudah mengerahkan beberapa pasukan untuk mencari punca berlakunya kekeruhan air di Sungai Selangor dan maklumat terkini memaklumkan, terdapat kerja-kerja tanah di kawasan Lembah Beringin.

“Pihak Luas akan mengambil tindakan sewajarnya dengan menghentikan kerja-kerja tanah terbabit bagi menggelakkan perkara lebih buruk berlaku,” katanya ketika hadir bersama di Muka Sauk Loji Rawatan Air Sungai Fasa 2 (SSP2), di sini.



Masih dalam siasatan

Sementara itu, Pengurus Loji Loji Rawatan Air Sungai Fasa 2 (SSP2), Ir Abdul Samad Sulaiman menjelaskan, punca kekeruhan air masih dalam siasatan dan pihaknya akan memantau sumber air mentah memandangkan pihaknya kini mengurangkan bekalan air terawat hingga 40 peratus.

“Kini, ia bergantung kepada kualiti air mentah yang dipantau kerana jika tahap kekeruhan dilihat menurun, mungkin jumlah kemasukan bekalan air terawat akan ditingkatkan, namun ia bergantung kepada status terkini yang dikemaskini setiap masa,” katanya.

Sinar Harian difahamkan, Syabas juga akan menyediakan sebanyak 42 lori tangki dan 230 tangki statik dalam keadaan siap sedia untuk dihantar ke kawasan kritikal mengikut keutamaan, bagaimanapun bantuan bekalan air yang disediakan ini tidak mampu untuk menampung keperluan bagi semua pengguna yang terlibat.

Sekiranya gangguan bekalan air dengan skala yang besar ini berterusan melebihi lapan jam, Syabas akan memaklumkan perkara ini kepada Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri supaya bersiap sedia untuk tindakan kecemasan pada bila-bila masa.

Sementara itu pengguna di kawasan terlibat dinasihatkan agar menggunakan air secara berhemah sepanjang tempoh gangguan dan turut menyarankan orang ramai yang mempunyai sebarang aduan atau pertanyaan supaya menghubungi Pusat Perkhidmatan Pelanggan Syabas (Puspel) menerusi talian bebas tol yang beroperasi 24 jam sehari di talian 1-800-88-5252.

Orang ramai boleh menghantar sistem pesanan ringkas (SMS) dengan menaip PUSPELaduan/pertanyaan dan hantar kepada 39222 selain boleh membuat aduan di laman Facebook atau Twitter Syabas dengan menaip ‘puspel’ atau ‘puspel syabas’.

SUMBER
KLIK DISINI

1 comment:

mohd hafifi said...

tengok pulak sungai kg sy

There was an error in this gadget

TOP HOT ARTIKEL

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...