PROGRAM TRANFORMASI KERAJAAN

NETWORKEDBLOGS

BLOGGERS 1 MALAYSIA IKUT SAYA, SAYA IKUT ANDA JUGA

Friday, June 10, 2011

MELINGKUP BERSAMA PAS..!!!


Hakikat kehidupan beradab dan berakal

KITA bersengketa kerana kita tidak mahu menerima kebaikan orang lain sebagai sesuatu yang baik, tetapi tetap menukarkan kebaikan itu menjadi sesuatu yang buruk dan tidak bermanfaat.

Itulah sikap sebenar di antara kita, walaupun percaya bahawa penyatuan adalah kaedah terbaik, tetapi dalam amalan seharian dan pemikiran kita sendiri mencari jalan untuk berpecah. Itulah penyakit besar yang sedang melanda diri kita sendiri.

Perubahan pucuk pimpinan Pas menjadikan lebih banyak persoalan yang bakal melakar lanskap politik Malaysia, terutamanya mengenai hubungan dalam semangat keislaman.

Persoalan yang paling utama apakah dengan kemenangan golongan professional akan membuka kepada pintu rundingan "kerajaan perpaduan" setelah muktamar tahun lalu yang masih diterajui kepimpinan ulamak menolaknya secara keras dengan menutup pintu.

Penutupan pintu turut diancam dengan sanggahan mengkaji semula kemungkinan membenarkan calon bukan anak tempatan bertanding mewakili parti itu dalam Pilihan Raya Umum Ke-13.

Tetapi, dalam muktamar yang berakhir hujung minggu lalu, Pas telah merangka strategi untuk meraih kemenangan lebih besar dengan terus menyokong peneraju pakatan pembangkang yang semakin goyah dan terancam.

Selasa lepas, presidennya mengeluarkan kenyataan tidak akan merebut jawatan sebagai Perdana Menteri jika pakatan pembangkang menang. Beliau sedia membiarkan jawatan itu menjadi milik Ketua Pembangkang kerana dilihat mempunyai "sentuhan ajaib" dan "bijak menguruskan pentadbiran negara."

Walaupun belum pernah terbukti sebagai pemimpin terbaik, pakatan pembangkang tetap percaya mereka boleh melakukan sedangkan setelah tiga tahun menguasai tiga buah negeri (Pulau Pinang, Kedah dan Selangor) dan kekal di Kelantan, masih banyak janji-janjinya belum tertunai.

Rakyat masih menunggu dengan penuh sabar, tetapi kesabaran itu ada hadnya dan bakal menduga kesetiaan pada pilihan raya nanti. Kerajaan perpaduan atau penyatuan antara rakyat menjadi perkara yang amat besar ertinya dalam meneruskan kesinambungan politik negara.

Formula penyatuan kaum yang dilaksanakan untuk tempoh lebih 50 tahun lalu diperkemaskan menerusi gagasan 1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapai Diutamakan sekurang-kurangnya menunjukkan realiti keyakinan masyarakat semakin besar, sebagaimana dilaporkan oleh kajian pendapat bahawa lebih 80 peratus melihatnya sebagai matlamat penyatuan yang kian utuh dan segar.

Dari perspektif rakyat, penyatuan antara mereka mula kembali menyusup akar kehidupan tetapi antara pemimpin politik, kecenderungan itu semakin jauh. Mereka hanya lebih gemar bercakap mengenai penyatuan dalam konteks lebih kecil, iaitu intrakelompok.

Kelompok ulamak sudah terpinggir, namun kelompok professional masih belum menunjukkan tanda akan bercantum semula. Kelompok ulamak semakin sedar bahawa perjuangan mereka tidak akan mencapai matlamat, kerana secara teknikalnya mereka sudah tersilap memilih slogan.

Slogan dan perjuangan mereka menjadi batu penghalang sehingga melenturkan salah faham, konflik dan ketegangan dalam kelompok pembangkang. Konsep Negara Islam masih menjadi penghalang, kerana pihak lain terus mahukan Malaysia kekal sebagai sebuah negara sekular. Atas kesedaran itu, mereka mula memperkenalkan konsep negara kebajikan.

Falsafah negara kebajikan adalah mengatas namakan kedudukan rakyat sebagai kuasa retorik baru bagi menutupi kesilapan silam. Negara kebajikan sebenarnya sudah lama dipraktikkan oleh kepimpinan yang memerintah.

Prinsip keperluan asas telah dipenuhi, maka retorik negara kebajikan itu sebenarnya satu strategi untuk melepaskan diri dari terus dipersoalkan mengenai janji pilihan raya yang lalu.

Tidak mempunyai kekuatan untuk memperoleh sumber membiayainya, kerana apa yang diharapkan tidak pernah menjadi, belum pun sampai tengah hari, hujan turun sehingga bakal melemaskan laluan politiknya sendiri.

Sebuah tamadun yang berkesan ialah setiap rakyatnya menunjukkan komitmen tinggi dalam menentukan kelangsungan hidup dengan bantuan semangat dan kesungguhan penyediaan kemudahan asas.

Maka di sinilah kita seharusnya kembali bermula untuk membulatkan tekad, mengarahkan setiap kesungguhan itu dalam satu visi, menghormati setiap perbezaan sebagai kelebihan dan budaya memberi lebih besar dari budaya meminta.

Bahkan Islam sentiasa mengingatkan setiap penganutnya agar sentiasa memberikan sedekah. Sedekah itu bukan terhad kepada material, ia turut melibatkan penggunaan kata-kata yang baik termasuk ketika berdoa.

Orang Islam diminta berdoa untuk kesejahteraan semua orang melalui amalan ibadat seseorang secara individu. Doa yang akan dimakbulkan oleh Allah SWT ialah doa yang terlahir dalam kalimat puji-pujian dan kesyukuran, doa berseru kepada kebaikan manusia sejagat dengan tidak menampakkan kesombongan diri.

Ia termasuk setiap manusia dan makhluk yang ada, maka di sinilah pentingnya ikon penyatuan sesama manusia. Keyakinan politik bukanlah faktor penghalang, keinginan seseorang bukanlah menjadi tembok yang memisahkan.

Tembok yang memisahkan pelbagai pihak dengan pelbagai keyakinan perlu diruntuhkan, dibina semula tembok penyatuan yang lebih besar dan kukuh.

Seruan melaksanakan penyatuan merupakan keazaman yang terbesar yang perlu dilaksanakan oleh setiap pemimpin. Penyatuan antara dua kelompok tidak akan menjadi kenyataan apabila antara mereka tidak mempunyai kemahuan bersama untuk bersatu.

Kekecohan yang berlaku di Timur Tengah dan Afrika Utara perlu kita jadikan pengajaran yang berguna. Meskipun ada kemarahan di pihak rakyat ke atas pemimpin mereka, kemenangan mengusir teraju kepimpinan negara dalam kebangkitan revolusi rakyat, masih tidak menunjukkan tanda akan cepat berakhir.

Mesir masih terus bergelumang dengan keretakan dari dalam, Libya masih tetap dengan keputusan akan berjuang hingga ke titisan darah terakhir, Yaman terus dibelenggu krisis ekonomi dan lompong politik yang lebih besar manakala Tunisia masih terbelenggu dengan tekanan pasca revolusi bagi menentukan siapakah yang mampu memimpin secara berkesan.

Sebagai umat yang satu, berlandaskan prinsip budaya salam, sesiapa sahaja yang menciptakan perpecahan dan kebencian di antara sesama manusia demi kepentingan peribadi dan duniawi, dia sebenarnya telah mengkhianati hakikat kejadian manusia itu sendiri.

Dia telah melanggar perintah Allah SWT agar manusia hidup dengan aman dan damai, mencemarkan teladan yang ditinggalkan oleh Nabi Muhammad SAW dan mereka itulah sebenarnya berada dalam kelompok orang yang zalim. Dia telah menzalimi diri sendiri dan menzalimi orang yang memberikannya kepercayaan dan harapan.

Tanpa mengira perbezaan politik, kita sebenarnya adalah umat yang sama. Kita orang Islam tetap dengan keyakinan keEsaan Allah SWT, membaca kitab yang sama dan mempertahankan kalimah syahadah yang sama, tetapi kenapa kerana perbezaan politik menyebabkan kita lebih mudah bersengketa.

Kita angkuh dengan kelompok kita sendiri. Kita angkuh dengan pendapat kita sendiri sedangkan kita percaya pendapat yang lebih banyak adalah lebih baik daripada seorang.

Persoalannya, di manakah kita menghormati orang lain sedangkan kita amat memerlukan orang lain menghormati kita? Itulah pertanyaan yang harus dijawab oleh kelompok professional yang baru menerajui kepimpinan Pas.

Jangan jadi menang sorak, kampung tergadai kerana perjuangan asal sudah berada dalam metamorphosis untuk menjadi kupu-kupu (dari negara Islam ke negara kebajikan) yang bakal menjadi tunggangan seolah kelompok yang terus tidak berganjak untuk menerajui kepimpinan negara walaupun masih belum selesai dengan persoalan moral dan hakisan pesona sebagai seorang pemimpin yang boleh diamanahkan.

DATUK AZIZ JAMALUDIN MHD. TAHIR ialah Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim)

No comments:

TOP HOT ARTIKEL

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...