4 LEGENDA...(dari kiri) Zainal, Sheila, Amy dan Jamal. |
Idea untuk berkongsi pentas disambut baik mereka. Langsung mereka digabungkan di dalam sebuah konsert, The Legendary Concert 2012 - Dulu, Kini dan Selamanya yang dijangka mencetus sejarah baru industri muzik tanah air bermula 5 Mei depan. Bukan calang-calang persembahan kerana bukan sahaja empat artis berpengalaman malah menampilkan empat genre muzik berlainan.
Konsert lima lokasi ini dianjurkan oleh Afro Inang Worldwide dan Research Venture Lab Sdn Bhd.
Penyanyi yang popular dengan lagu Ikhlas Tapi Jauh dan Hijau, Zainal, 53, berkata, pihaknya menerusi Afro Inang Worldwide sudah buat kajian mendalam mengenai konsert legenda itu selama dua tahun termasuk membabitkan pasaran muzik tempatan ketika ini.
“Hasil kajian mendapati, peminat usia 15 hingga 25 tahun akan menonton konsert ini kerana ia mengimbas nostalgia buat mereka. Selain itu, ramai peminat yang tidak ingin melepaskan peluang menonton konsert legenda ini kerana mereka membesar dengan lagu-lagu kami dari dulu hingga sekarang,” katanya.
Secara peribadi, Zainal juga percaya sudah sampai masanya, penghibur bertaraf legenda seperti mereka berkongsi pentas dalam satu konsert serta memberikan impak pada masyarakat.
“Jika saya dikenali dengan sumbangan pada alam sekitar, Jamal pula, walaupun hidupnya penuh ranjau dan duri tapi dia tetap berdiri sampai hari ini. Manakala, Amy pula banyak mendekati golongan mat rempit dan Sheila pula dengan program amal dan kesihatannya.
“Jika nak diikutkan, Amy dan Jamal dan sudah mampu buat konsert solo kerana pengaruh mereka yang cukup besar dan menarik ribuan peminat,” katanya.
Zainal juga melihat gabungan mereka berempat mampu menarik lebih ramai peminat.
“Sekurang-kurangnya seramai 40,000 peminat dalam satu konsert. Maklumlah, masing-masing mempunyai peminat tersendiri. Namun, bila kita lihat pasaran muzik sekarang, artis seperti kami nak tarik 10,000 peminat pun susah dalam satu masa,” katanya.
Pada masa sama, kata Zainal, dia juga mengikuti perkembangan muzik tiga lagi penghibur yang juga rakan seperjuangannya itu.
“Jamal adalah penghibur paling senior kerana dia memulakan karier nyanyiannya pada 1979. Selepas itu, barulah saya, Amy dan Sheila pula mengikut jejaknya menceburi bidang nyanyian.
“Saya memang teruja hendak berkongsi pentas dengan Jamal kerana belum pernah mengadakan konsert dengannya sebelum ini,” katanya.
Diminta komen gandingannya dengan Sheila pula, kata Zainal, mereka memang pasangan serasi apabila bergandingan di atas pentas.
“Terus terang, kami tidak ada agenda lain bila bekerjasama kerana masing-masing sudah berkahwin dan ada keluarga sendiri. Ramai peminat yang suka dengan gandingan kami di pentas.
“Muzik kami juga tidak keterlaluan dan ada identiti tersendiri. Setiap artis akan menyampaikan enam lagu solo dan kami berempat akan berduet satu lagu Ikhlas Tapi Jauh,” katanya.
Bagi Jamal, 53, pula, dia tidak ingin lepaskan peluang menjayakan konsert legenda itu kerana ia adalah pentas untuk mereka membuktikan kehebatan masing-masing.
“Saya juga menjanjikan yang terbaik pada konsert itu nanti. Sudah pasti saya berdebar kerana ketiga-tiga mereka juga ada kekuatan tersendiri. Dari segi persiapan, saya memang sentiasa bersedia untuk menjayakan mana-mana persembahan atau konsert.
“Saya juga akan menyampaikan enam lagu popular saya khusus untuk menghiburkan peminat nanti. Selain itu, saya juga ada kejutan dalam segmen khas kerana ia bukan konsert yang biasa yang pernah dijayakan sebelum ini,” katanya.
Manakala Amy, 54, yang tampil solo dalam konsert itu berkata, dia memang menanti peluang bekerjasama dengan tiga lagi penghibur hebat itu.
“Walaupun saya lebih berusia daripada mereka, dari segi pembabitan dalam bidang seni, sayalah yang paling junior dalam bidang muzik. Namun, saya memang mengagumi dan mengikuti perkembangan muzik Zainal, Jamal dan Sheila, sejak dulu.
“Bukan mudah untuk menggabungkan kami berempat dalam satu konsert berskala besar ini. Ia memerlukan persefahaman antara kami. Apa yang saya boleh katakan gabungan kali ini adalah yang terbaik dan bakal mencetuskan fenomena dalam industri. Rangkaian lagu yang disampaikan ialah lagu solo dan medley,” katanya.
Satu-satunya penyanyi wanita dalam konsert ini, Sheila, 47, yang juga paling bongsu berkata, dia juga tidak sabar berkongsi pentas dengan tiga lagi penghibur seperjuangannya itu.
“Contohnya, saya sendiri memang meminati Jamal dan baru sekarang berpeluang mengadakan konsert dengannya. Seperti biasa, saya akan sampaikan lagu popular yang juga lagu wajib seperti Sinaran, Antara Anyer dan Jakarta dan sebagainya lagi.
“Saya juga berasa terpanggil untuk menjayakan konsert ini kerana sebahagian daripada hasil kutipan akan disalurkan untuk rumah kebajikan pilihan masing-masing. Justeru, peminat datanglah beramai-ramai kerana selain berhibur, kita juga membantu golongan kurang bernasib baik di luar sana,” katanya.
Konsert Legenda membabitkan lima lokasi iaitu bermula di Stadium Larkin, Johor Bahru pada 5 Mei, diikuti Stadium Likas, Kota Kinabalu (19 Mei), Stadium Kuching, Kuching (26 Mei), Pulau Pinang (23 Jun) dan Stadium Merdeka, Kuala Lumpur (30 Jun).
No comments:
Post a Comment
KOMEN LA APA NAK KOMEN, KLBOYZ MALAS NAK TAPIS-TAPIS, KOMEN JER LA..,TAPI KALAU BOLEH GUNAKAN BAHASA YANG ORANG BOLEH FAHAM & BERFIKIR..
TANGGUNG SENDIRI....!!?