Penerbit Eksekutif Pesona Pictures, Aida Fitri Buyong berkata, banyak spekulasi dan komen negatif diterima berkenaan dengan Tanda Putera adalah daripada kalangan mereka yang masih belum jelas mengenai latar cerita atau pihak belum menonton filem itu.
"Saksikan dulu filem ini sebelum membuat sebarang spekulasi dan komen yang tidak berasas," katanya pada sidang media khas di sini, hari ini.
Sehubungan itu kata Rusdi Ramli yang membawa watak sebagai Tun Abdul Razak pula berkata, filem yang dibintanginya itu tidak menceritakan perihal politik, sebaliknya mengetengahkan tema kenegaraan serta sejarah negara pada masa lampau.
"Saya langsung tidak membaca mana-mana blog atau membuka Facebook membaca kata cacian dan makian yang dilemparkan oleh pihak yang saya rasa tidak matang lantas mengkritik filem ini tanpa menontonnya terlebih dulu," katanya lagi.
Kata beliau, rententan daripada kontroversi itu dan pelbagai ugutan serta cacian yang diterima, menyebabkan ada di kalangan pelakon berasa takut untuk keluar rumah.
"Biarpun filem ini menerima tempias kontroversi, ini tidak sesekali membuatkan saya serik untuk terlibat dengan mana-mana filem yang mengetengahkan genre sama pada masa akan datang.
"Walau bagaimanapun, alhamdulillah filem ini akhirnya akan menemui penonton November depan dan diharap filem ini dapat mencatat jualan pecah panggung," katanya.
Sementara itu, Zizan Nin yang berperanan sebagai Tun Dr Ismail berkata, tidak sepatutnya sesetengah pihak terlebih emosi hanya berdasarkan trailer 90 saat itu.
"Sampai satu tahap saya digelar anjing kerajaan dan jentera propaganda kerajaan. Apa semua ini? Kami hanya berlakon serta penerbit dan pengarah hanya 'film maker'.
"Perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku kerana ini bukan naskah politik yang dihasilkan sebaliknya hanya sejarah negara yang ingin dipertontonkan kepada semua rakyat Malaysia," katanya.
Filem yang dihasilkan dengan kos RM4 juta itu merupakan filem terbitan Pesona Pictures dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) dan Perbadanan Kemajuan Multimedia.
Selain Rusdi dan Zizan, filem ini turut dibintangi Faezah Elai, Linda Hashim dan Kavitha Sidhu.
No comments:
Post a Comment