Sunday, October 23, 2011

MB PERAK AKAN SAMAN PENGERUSI DAP...!!!



Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir akan memfailkan saman terhadap Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham kerana fitnah berhubung penjualan tanah yang kononnya menyebabkan kerajaan negeri kerugian ratusan juta ringgit.

Tindakan itu dibuat setelah tempoh 24 jam yang ditetapkan oleh Zambry supaya Koo Ham meminta maaf dan menarik balik kenyataannya, tamat semalam.

"Saya tiada pilihan selain mengambil tindakan itu selepas Koo Ham gagal mengemukakan bukti terhadap setiap kenyataan berunsur fitnah yang dilemparkannya,'' katanya.

Tegasnya, tindakan Koo Ham membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu itu hanya helah terbaru DAP bagi mengelirukan rakyat.

"Anda tahu tentang pembohongan demi pembohongan oleh Koo Ham sebelum ini, tetapi saya tidak ambil tindakan kerana menganggap ia sekadar kenyataan politik.

"Tetapi kali ini cukup berat malah diulang-ulang dengan matlamat memburukkan imej kerajaan negeri. Sebab itu saya perlu lawan," katanya.

Sebelum ini, Zambry mencabar Koo Ham membuktikan tuduhannya berhubung kelulusan tanah seluas lebih 24,000 hektar yang kononnya dijual pada harga rendah iaitu RM374 setiap 0.4 hektar kepada kroni-kroni Menteri Besar Perak itu sehingga menyebabkan kerajaan negeri kerugian sehingga RM900 juta.

Zambry juga mencabar Koo Ham mendedahkan nama kroni beliau yang diberi tanah itu selain membuktikan bagaimana mereka boleh mendapat keuntungan sehingga RM900 juta seperti disebut dalam blog pemimpin DAP itu.

Koo Ham bagaimanapun dilaporkan tidak menyahut cabaran itu sebaliknya membuat laporan kepada SPRM semalam.

Kata Zambry, Koo Ham membuat dakwaan itu berdasarkan jawapan beliau di Dewan Undangan Negeri (DUN) mengenai jumlah tanah yang diluluskan kerajaan negeri setakat Julai tahun lalu serta perolehan yang dipungut kerajaan negeri ketika itu.

"Pada masa itu saya jawab setakat Julai 2010 sebanyak lebih 60,000 ekar tanah diluluskan dengan perolehan terkumpul RM22 juta, tapi Koo Ham membuat andaian tanah dijual RM375 seekar dengan membahagikan RM22 juta itu dengan keluasan tanah.

"Koo Ham sengaja memanipulasi fakta ini sedangkan perolehan terkini bagi penjualan tanah berkenaan sudah mencecah lebih RM70 juta," katanya sambil memberitahu barisan peguamnya akan tampil dengan kenyataan rasmi dalam masa terdekat ini.

Beliau berkata, sebagai pihak yang melemparkan tuduhan, Koo Ham sepatutnya menunjukkan bukti, bukan dengan memanipulasi fakta bagi mengelirukan rakyat.

1 comment:

  1. bro zambry,

    saman jer kaki fitnah nie...

    pejuang hamas...

    ReplyDelete

KOMEN LA APA NAK KOMEN, KLBOYZ MALAS NAK TAPIS-TAPIS, KOMEN JER LA..,TAPI KALAU BOLEH GUNAKAN BAHASA YANG ORANG BOLEH FAHAM & BERFIKIR..
TANGGUNG SENDIRI....!!?