PROGRAM TRANFORMASI KERAJAAN

NETWORKEDBLOGS

BLOGGERS 1 MALAYSIA IKUT SAYA, SAYA IKUT ANDA JUGA

Sunday, October 13, 2013

DAPATKAH PEMILIHAN BARU HAPUSKAN RASUAH DALAM UMNO..??




Apakah benar politik wang dapat dihapuskan dalam Umno? Dengan kaedah pemilihan baharu yang diperkenalkan tahun ini, sekurang-kurangnya itulah harapan umum, termasuk yang bukan ahli parti.

Berbanding pemilihan tahun-tahun sebelumnya di mana perwakilan yang mengundi hanya sekitar 2,000, pertarungan kali ini akan ditentukan oleh 146,500 orang yang akan memastikan siapa naik, siapa tersungkur.

Bukan rahsia lagi, dulu-dulu musim pemilihan parti dianggap sumber rezeki tambahan kepada perwakilan. Ejen-ejen calon meraih undi dengan menabur duit kepada perwakilan.

Perwakilan yang tiba dari seluruh negara dilayan seperti VIP. Mereka menginap di hotel besar. Makan, minum, dangdut dan lain-lain kesedapan peribadi, semuanya ditanggung beres oleh calon.

Malah, malam akhir menjelang pemilihan, ada sampul dimasukkan di bawah pintu bilik setiap perwakilan. Dalam sampul berkenaan ialah wang tunai – antara RM500 dan RM2,000 – berserta nota daripada calon: “Jangan lupa undi saya!”, atau lain-lain perkataan seerti dengannya.

Kalau perwakilan ada rasa tanggungjawab kepada parti, bangsa dan agama, calon-calon main duit itu sepatutnya dilaporkan kepada lembaga disiplin, bawa sekali sampul berisi wang dan nota rayuan itu sebagai bukti kukuh. Biar mereka dihukum.

Tetapi, tidak ramai perwakilan yang berjumpa lembaga disiplin. Lebih baik terima habuan, boleh bersedap-sedap sepanjang tiga hari di KL. Malah duit rasuah itu boleh juga digunakan untuk membeli buah tangan – termasuk kain batik, tudung bawal dan ayam goreng – untuk anak isteri di rumah.

Demikianlah, nilai seorang perwakilan Umno ketika itu, hanya RM500, RM2,000, campur urut dan dangdut percuma. Kalau begitu lekeh dan murahnya harga diri seorang pemilih, maka tidak hairan parti terbesar orang Melayu itu berada dalam keadaan semput-semput hingga sekarang.

Kini perwakilan yang memilih ada hampir 150,000. Kalau hendak rasuah RM1,000 setiap orang, calon kena menyediakan wang tunai RM beratus juta, terpaksa pula sewa van atau truk keselamatan untuk angkut duit tersebut ke PWTC.

Pendek kata mana-mana calon bercita-cita tinggi dan hendak membeli perwakilan, mereka betul-betul kena ada banyak wang. Rasanya tidak ada calon sanggup membeli undi dalam kaedah pemilihan baru ini. Maka atas andaian tersebut ada bersetuju politik wang dapat dihapuskan.

Tetapi, tidak ramai yakin politik duit betul-betul dapat dihapuskan. Ramai pemimpin parti sendiri akui masih ada lagi politik wang. Sebulan dua ini calon atau ejen calon menemui perwakilan, mengadakan majlis kenal mesra dan makan-makan.

Ada soksek-soksek sana-sini bahawa sesetengah majlis makan-makan itu diakhiri dengan acara menghulur sampul. Pendek kata susah juga hendak menghapuskan politik wang seratus peratus.

Kepada calon-calon, tidak kira jawatan apa, yang berhasrat bermain duit, tanyalah diri sendiri: apakah budaya busuk ini hendak diteruskan dalam parti? Masih tertutupkah mata dan hati bahawa rasuah sudah memporak-perandakan parti? Tidak malukah pada diri sendiri?

Kepada setiap perwakilan yang cuba disonglap, tanyalah diri: apakah hendak terus bersubahat dalam kegiatan busuk yang akhirnya menghancurkan parti dan generasi Melayu. Kalau tidak takut pada agama, malulah sedikit pada anak-anak kerana memberi mereka makanan dari duit rasuah.

Semua kena insaf untuk menyelamatkan Umno. Ada calon-calon yang sebelum ini telah disahkan terlibat secara langsung dengan politik wang. Ada yang tidak boleh bertanding, ada dilucutkan jawatan, ada digantung keahlian, gara-gara politik wang.

Kini mereka masuk semula ke gelanggang, mendabik dada mengaku pejuang bangsa. ‘Pejuang rasuah’ seperti ini tidak boleh dimaafkan, tidak boleh diberi peluang kedua. Mereka patut disingkirkan. 146,500 perwakilan wajib membuat pilihan tepat untuk memastikan kesinambungan parti. Mudah-mudahkan Umno dapat ditransformasikan.

2 comments:

Anonymous said...

Kalau dulu lebih 2000 perwakilan, kini kena jaga cuma 191 bahagian X G6 saja. Kalau dapat 96 bahagian X G^ dah boleh menang. Lazimnya G^ inilah yg buat "chai" untuk di pilih oleh perwakilan di peringkat bahagian. Conoth : pemilihan wanita UMNO. Ramai ketua wanita cawangan tak kenal pun calon so depa dok ikut chai ketua wanita bahagian yg dapat wahyu dari ketua wanita negeri atas perintah ketua wanita pusat syarizat jalil.

Albantuya said...

Anon 12.33 kalau betul, alhamdulillah tiada lagi gejala politik wang dalam pemilihan kali ini. Bak kata Tun Dr Mahathir, ahli-ahli UMNO sekarang bukan lagi buta IT. Mereka kenal siapa yang bertanding kerana mereka membuat pertimbangan apa yang mereka baca di internet. Tidak salah ketua bahagian berkempen untuk calon pilihannya kerana UMNO mengamalkan demokrasi. Lagi pun pesaing-pesaing untuk jawatan Ketua Wania dan Ketua Pemuda bukanlah begitu terkenal dan menonjol dalam parti. Apa pun, kita tunggu keputusan bagi jawatan yang lebih tinggi nanti, kerana calon-calon semua sama-sama hebat dan berkredibiliti.

TOP HOT ARTIKEL

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...